PENYERAHAN PROJEK MEMBINA JALAN BARU DI BANDAR 34, BERA, PAHANG (FASA 1)

03-NOV-2023 01 PENYERAHAN JALAN BANDAR 34 BERA

Majlis Penyerahan Projek Membina Jalan Baru Di Bandar 34, Bera, Pahang (Fasa 1) telah diadakan secara bersekali bersama tiga lagi projek lain di bawah kementerian pelanggan pada 3 November 2023 (Jumaat) bertempat di Bilik Mesyuarat Mayang Sari, Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) Putrajaya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Ahmad bin Tuan Wil, Setiausaha Bahagian Prasarana yang mewakili Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) manakala YBhg. Dato’ Ir. Hj Zulkipli bin Hj Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, mewakili Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan, YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria, DIMP., Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, YBrs. Ir. Hj. Mohd Faizarudin Bin Hj. Mohd Noor, Jurutera Daerah JKR Bera selaku Pegawai Penguasa Projek, pasukan pegawai tapak bina JKR Bera, pasukan HOPT BPP Luar Bandar, pasukan HODT BRJ Luar Bandar, Cawangan Jalan, serta kontraktor utama projek iaitu Warisan Kesumi Enterprise Sdn. Bhd.

Projek milik Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) dengan siling peruntukan bernilai RM 28 juta ini telah bermula pada 18 Ogos 2021 dan berjaya disiapkan 21 hari awal berbanding tarikh siap semasa iaitu pada 29 September 2023 dengan harga kontrak semasa bernilai RM 15,387,942.

Objektif projek ini adalah menaiktaraf jaringan perhubungan serta sebagai pemangkin kepada pembangunan di Bandar 34, Bera yang kini menempatkan Kem Tentera Rejimen ke-34 Artileri Diraja serta MRSM ATM Bera. Skop bagi projek ini adalah membina jalan baru sepanjang 1.45km termasuk menaiktaraf 3 persimpangan serta kerja-kerja yang berkaitan.

Projek ini berjaya disiapkan dengan pencapaian 7 dalam 1 iaitu;

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).
  2. Serahan lukisan ‘As-Built’.
  3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA).
  4. Projek siap 21 Hari Awal berbanding Tarikh Siap Semasa.
  5. ‘Zero Major Defect’ sewaktu pemeriksaan akhir.
  6. ‘Zero Loss Time Injury’ (LTI) iaitu tiada kemalangan di tapak melibatkan pekerja mahupun orang awam.
  7. Pematuhan SOP Covid-19 iaitu tiada kes penularan jangkitan di tapak.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) selaku kementerian pelanggan yang sudi serta memberi kepercayaan kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia sebagai agensi pelaksana bagi projek pembangunan di negara ini. Tidak dilupakan kepada seluruh pasukan projek Jabatan Kerja Raya yang menjadi teraju utama di dalam proses pengurusan, rekabentuk, serta pengawasan projek serta pihak kontraktor utama dan kontraktor dinamakan (NSC) yang berjaya menyiapkan projek ini dengan penuh dedikasi dan komited dari mula pembinaan sehingga ke tarikh penyerahan.

03-NOV-2023 02 PENYERAHAN JALAN BANDAR 34 BERA
03-NOV-2023 03 PENYERAHAN JALAN BANDAR 34 BERA
03-NOV-2023 04 PENYERAHAN JALAN BANDAR 34 BERA