MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN BARU MASJID KAMPUNG DURIAN HIJAU, JERANTUT, PAHANG

2023 01 - MASJID DURIAN HIJAU

Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Baru Masjid Kampung Durian Hijau, Jerantut, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 1 November 2023 bertempat di tapak projek masjid tersebut iaitu di Kampung Durian Hijau, Jerantut, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan simbolik penyerahan kunci bangunan masjid oleh YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang kepada YBrs. Encik Arbain Bin Mokhtar, Penolong Pengarah Seksyen Khas, Pejabat Pembangunan Negeri Pahang selaku wakil kepada pihak pelanggan bagi projek ini. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Encik Rizal Bin Mustafa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YBrs. Ir. Haji Kamarul Hisyam Bin Kamaruzzaman, Ketua Jurutera Elektrik Negeri Pahang, YBrs. Ir. Adly bin Dasril selaku Jurutera Daerah Jerantut dan Pegawai Penguasa bagi projek ini, wakil Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil dari Pasukan Rekabentuk (HODT), wakil pihak kontraktor utama serta kontraktor yang dinamakan (NSC). Dalam majlis tersebut, Pengarah Kerja Raya Pahang juga telah menyerahkan sijil penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam pembinaan masjid ini.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan piawai masjid 200 jemaah yang direkabentuk oleh Pasukan Rekabentuk JKR Pahang dengan siling projek sebanyak RM 2 juta. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan utama masjid berkapasiti 200 jemaah, menara, tandas lelaki dan wanita, tempat letak kenderaan, dataran kejat serta landskap bagi kawasan sekitar masjid.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 27 bulan iaitu bermula 25 Ogos 2021 sehingga 12 November 2023 dan kontraktor telah berjaya menyiapkan projek lebih awal dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 10 Oktober 2023 (33 hari awal dari tarikh patut siap semasa). Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama oleh syarikat Kurnia Dala Makmur Sdn. Bhd. bersama kontraktor elektrik dari syarikat Zeith Resources serta kontraktor mekanikal Sya Aliz Enterprise dalam menjayakan projek ini meskipun negara berhadapan dengan cabaran pasca krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan kepada kenaikan harga barang binaan yang mendadak. Namun, kontraktor tetap berjaya menyiapkan projek ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Matlamat utama pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan penduduk Kampung Durian Hijau dan kampung-kampung sekitarnya dengan kapasiti seramai 200 orang jemaah. Keperluan ini telah diangkat oleh penduduk kampung kepada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut. Peruntukan telah diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah Jerantut selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Projek JKR Jerantut, Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

2023 02 - MASJID DURIAN HIJAU
2023 03 - MASJID DURIAN HIJAU