MAJLIS PENYERAHAN PROJEK MEMBINA BARU MASJID KAMPUNG GOL, KUALA TAHAN, PARLIMEN JERANTUT, PAHANG

Masjid Kg Gol 01

Majlis Penyerahan Projek Membina Baru Masjid Kampung Gol, Kuala Tahan, Parlimen Jerantut, Pahang Telah berlangsung dengan jayanya pada 27 September 2022 (Selasa) bertempat di tapak projek masjid tersebut di Kampung Gol, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan simbolik penyerahan kunci bangunan oleh YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang kepada YBrs. Encik Azmil bin Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah (Khas) Pejabat Pembangunan Negeri Pahang selaku wakil kepada pihak pelanggan. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Encik Mohd Afandi bin Abdul Rani, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YBrs. Ir. Adly bin Dasril selaku Jurutera Daerah dan Pegawai Penguasa bagi projek ini, YBrs. Al-Fadhil Haji Syarifuddin Bin Mohamad Sa’ad, Qadhi Daerah Jerantut, wakil Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil dari semua Pasukan Rekabentuk (HODT), wakil pihak kontraktor utama dan kontraktor yang dinamakan (NSC). Dalam majlis tersebut, Pengarah Kerja Raya Pahang juga telah menyerahankan sijil penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam pembinaan masjid ini.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan Piawai Masjid 200 jemaah yang direkabentuk oleh Pasukan Rekabentuk JKR Pahang dengan siling projek sebanyak RM 2 juta. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan utama masjid berkapasiti 200 jemaah, menara, tandas lelaki dan wanita, tempat letak kenderaan, dataran kejat serta landskap bagi kawasan sekitar masjid.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 23 bulan iaitu bermula 2 Disember 2020 sehingga 23 Ogos 2022. Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama iaitu Syarikat Tahan Water Travel Sdn. Bhd. bersama kontraktor elektrik dari Syarikat Wajah Jaya Idaman Enterprise dan kontraktor mekanikal dari Syarikat AMI Engineering Dan Enterprise telah berjaya menyiapkan projek dengan jayanya mengikut tarikh patut siap sebagaimana kontrak tanpa melibatkan sebarang lanjutan masa (Extension of Time) walaupun berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 yang berlaku seterusnya memberikan impak yang positif apabila ianya disiapkan sepenuhnya dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) yang telah dikeluarkan pada 23 Ogos 2022.

Matlamat utama pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan penduduk di Kampung Gol dan kampung-kampung sekitarnya di Kuala Tahan, Jerantut malahan berkeupayaan menampung kapasiti seramai 200 orang jemaah bagi menggantikan masjid lama kampung tersebut.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah JKR Jerantut selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Penyeliaan Tapak Bina JKR Jerantut, Pejabat Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

Masjid Kg Gol 02
Masjid Kg Gol 03
Masjid Kg Gol 04