MAJLIS PENYERAHAN PROJEK MENAIKTARAF BANGUNAN PEJABAT JABATAN LAUT MALAYSIA (JLM) SELURUH MALAYSIA – PEJABAT LAUT PULAU TIOMAN, ROMPIN

JLM01-01

Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Bangunan Pejabat Jabatan Laut Malaysia (JLM) seluruh Malaysia – Pejabat Laut Pulau Tioman, Rompin, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Ogos 2023 (Khamis) bertempat di tapak projek Pejabat Laut Pulau Tioman, Pahang.

Pada majlis ini, diadakan upacara menandatangani Sijil Penyerahan dan Penerimaan Projek oleh Tuan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Rompin, Ir. Ts. Mohd Faiz bin Mohd Faudzi selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Kapten Haji Mohamad Halim bin Ahmed, Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia yang disaksikan oleh YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, DIMP., Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Ir. Waznah binti Abd. Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), Tuan Haji Abd Majid bin Haji Rais, Pengarah Laut Wilayah Timur, Jabatan Laut Malaysia, YH. Dato’ Haji Idros bin Yahya, Pengurus Besar, Lembaga Pembangunan Tioman.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Ruslan bin Sulaiman, Juruukur Bahan Penguasa Ukur Bahan, JKR Pahang, Wakil Pegawai Penguasa, Ts. Mohd Fazrie bin Rakmat, Jurutera Awam, JKR Rompin dan turut dihadiri oleh pegawai – pegawai kanan dari Jabatan Laut Malaysia, Pasukan Projek, HOPT, JKR Negeri Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman dan Pihak Kontraktor, Azrul Rich Sdn. Bhd.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan penyerahan kunci bangunan, frame gambar Projek serta Lukisan Siap Bina oleh Tuan Jurutera Daerah JKR Rompin, Ir. Ts. Mohd Faiz bin Mohd Faudzi selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Kapten Haji Mohamad Halim bin Ahmed, Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia sebagai simbolik penyerahan projek ini.

Projek ini telah bermula pada 31 Januari 2022 dengan Kos projek berjumlah RM 1,163,670.00 dan dilaksanakan secara Konvensional (Dalaman). Pejabat JKR Daerah Rompin, Pahang telah dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Penguasa bagi Projek ini sekaligus menyelia dan memantau aktiviti di tapak bina. Jabatan Kerja Raya telah melaksanakan penyeliaan dan pemantauan secara holistik melalui Sistem Kawal dan Lapor (SKALA) dan Sistem Pengurusan Bersepadu JKR yang melibatkan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) ISO 9001:2015, Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SPKKP), ISO 45001:2018 dan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (MS ISO 14001:2015) dalam merealisasikan hasrat pelanggan.

Skop projek ini melibatkan tiga kompenan utama iaitu Susunatur Pejabat Aras 1, Sistem Kumbahan dan Skop Mekanikal & Elektrik (Dilaksanakan oleh Nominated Sub-contractor, NSC). Projek ini dapat disiapkan pada 28 Julai 2023, siap mengikut Jadual dengan jumlah kos yang telah ditetapkan. Secara keseluruhanya, projek ini dapat disiapkan secara tiga (3) dalam (1) iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing) dan Penyata Akaun Muktamad (SOFA).

Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor Azrul Rich Sdn. Bhd. yang telah berjaya menyiapkan projek ini dan diserahkan kepada pihak pelanggan. Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia), Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), HODT, JKR Negeri Pahang yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini.

JLM02