MAJLIS PENYERAHAN PROJEK MEMBINA BARU MASJID KAMPUNG GAJAH MATI, JERANTUT, PAHANG

21-09-2023-001

Majlis Penyerahan Projek Membina Baru Masjid Kampung Gajah Mati, Jerantut, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 21 September 2023 bertempat di tapak projek masjid tersebut iaitu di Kampung Gajah Mati, Jerantut, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan simbolik penyerahan kunci bangunan masjid oleh Yang Hormat Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang kepada YBrs. Encik Razif Bin Abdul Malek (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif-Pengurusan), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) selaku wakil kepada pihak pelanggan. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Encik Rizal Bin Mustafa, (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YBrs. Ir. Adly bin Dasril selaku Jurutera Daerah dan Pegawai Penguasa bagi projek ini, wakil Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil dari semua Pasukan Rekabentuk (HODT), wakil pihak kontraktor utama serta sub-kontraktor yang dinamakan (NSC). Dalam majlis tersebut, Pengarah Kerja Raya Pahang juga telah menyerahkan sijil penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam pembinaan masjid ini.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan Piawai Masjid 200 jemaah yang direkabentuk oleh Pasukan Rekabentuk JKR Pahang dengan siling projek sebanyak RM 2.0 juta. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan utama masjid berkapasiti 200 jemaah, menara, tandas lelaki dan wanita, tempat letak kenderaan, dataran kejat serta landskap bagi kawasan sekitar masjid.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 20 bulan iaitu bermula 9 Februari 2022 sehingga 10 Oktober 2023 dan kontraktor telah berjaya menyiapkan projek lebih awal dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 13 September 2023 (27 hari awal) tanpa melibatkan sebarang lanjutan masa sepanjang projek ini berlangsung (tiada EOT). Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama oleh syarikat HHF Trading bersama kontraktor elektrik dari syarikat Elektrik Nur dalam menjayakan projek ini meskipun negara berhadapan dengan cabaran pasca krisis pandemik Covid-19. Kesan dari pasca Covid-19 memberi kesan kepada kenaikan harga barang binaan yang mendadak. Namun begitu, kontraktor tetap berjaya menyiapkan projek ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Matlamat utama pembinaan masjid ini adalah untuk memenuhi keperluan penduduk Kampung Gajah Mati dan kampung-kampung sekitarnya terutama Kampung Tanjong Betong, Kampung Padang Piol dan Kampung Sg. Yap dengan kapasiti seramai 200 orang jemaah. Keperluan ini telah diangkat oleh penduduk kampung kepada Pejabat Pembangunan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut. Peruntukan telah diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui (ICU JPM).

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah JKR Jerantut selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Projek JKR Jerantut, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

21-09-2023-003
21-09-2023-002
21-09-2023-004