MAJLIS PENYERAHAN PROJEK KLINIK KESIHATAN (JENIS 3) DENGAN KUARTERS BANDAR RAUB, RAUB, PAHANG

01

Majlis Penyerahan Projek Siap kepada pelanggan bagi Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Bandar Raub, Raub Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Mac, 2023 (Jumaat) bertempat di Aras 1, Blok Klinik Kesihatan Bandar Raub, Pahang.

Majlis menandatangani Sijil Penyerahan Dan Penerimaan Projek disempurnakan oleh YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria, DIMP., Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang selaku Pegawai Penguasa projek kepada YH. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Binti Yunus, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang dengan disaksikan oleh YBrs. Tn. Wan Hashim Bin Wan Rahim, Setiausahan Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan YBrs. Ir. Shukri Bin Ishak (Menjalankan Tugas Pengarah), Cawangan Kerja Kesihatan, Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Gimik penyerahan dilaksanakan dengan penyerahan replika kunci dan “grand master keys” oleh YH. Dato’ Ahmad Latifi Bin Abd Malik, Pengarah Urusan Alam Jitu Bina Sdn Bhd selaku Kontraktor Utama kepada JKR Negeri Pahang selaku Pengawai Penguasa seterusnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan seterusnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sebagai pengguna akhir.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman dan secara Pre-Approved Plan (PAP) yang mana rekabentuk bangunan yang tersedia dan lengkap dengan input seni bina, struktur, mekanikal, elektrikal dan ukur bahan yang menepati keperluan teknikal dan perundangan kerajaan iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Untuk makluman juga, Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) selaku Pengurus Program dan HOPT adalah Bahagian Bangunan JKR Pahang seterusnya Pengarah JKR Negeri Pahang telah diberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Penguasa untuk menyelia projek ini. Manakala HODT yang terlibat adalah daripada Pasukan JKR Negeri Pahang yang terdiri daripada Bahagian Arkitek, Bahagian Ukur Bahan, Bahagian Struktur & Rekabentuk, Cawangan Elektrik dan Cawangan Mekanikal.

Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor Alam Jitu Bina Sdn. Bhd. secara tender terbuka. Tempoh pembinaan projek adalah selama 57 bulan iaitu bermula dari 12 April 2018 hingga tarikh siap semasa pada 11 Januari 2023. Walau bagaimanapun projek ini dapat disiapkan pada 9hb Januari 2023 setelah melalui tempoh-tempoh pembinaan dalam fasa perintah kawalan pergerakan disebabkan Pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada semua termasuk industri pembinaan.

Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters di keluasan tanah 4.28 ekar mengandungi blok berikut :-

i) 1 blok klinik kesihatan dengan kemudahan kawasan parkir kenderaan awam.
ii) 1 blok kuarters 4 tingkat mengandungi 16 unit
iii) Blok-blok sokongan lain seperti garaj ambulan, pencawang elektrik, rumah pam, menara tangka air dan pondok pengawal.

Tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek ini dan diserahkan kepada pihak pelanggan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Bahagian Pembangunan KKM, Bahagian Perancang KKM, Pasukan Coreteam JKNP, Cawangan Kerja Kesihatan, semua HOPT, HODT serta kontraktor utama yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini. Diharapkan dengan penyerahan Klinik Kesihatan ini akan memberi manfaat kepada semua terutamanya kepada penduduk Raub.

02
03
04
07
0277
519