Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2024 (HPTN 2024) Peringkat Negeri Pahang telah diadakan dengan jayanya pada 12 November 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, Pahang. Program tersebut telah dirasmikan oleh YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang. Turut mengiringi YH Dato’ Pengarah pada program tersebut adalah Tuan Ir. Haji Rosnan Bin Hussin, Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Tuan Pengetua SMK Sungai Soi, En. Khairul Zukri Bin Abdulllah, Ketua-Ketua Bahagian, Jurutera Daerah Kuantan, dan guru-guru SMK Sungai Soi. Program yang julung-julung kali diadakan ini turut dihadiri lebih 250 orang pelajar SMK Sungai Soi yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan peranan profesion teknikal dalam pembangunan infrastruktur di negara khususnya di negeri Pahang.
Penganjuran program juga ini selaras dengan hasrat pengurusan atasan JKR Malaysia yang mahukan supaya Sambutan HPTN diperluaskan ke semua negeri-negeri bermula pada tahun 2024. Sambutan HPTN merupakan wadah bagi menghargai jasa para profesion teknikal atas sumbangan besar mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara meliputi pelbagai bidang teknikal antaranya kejuruteraan, astronomi, sains, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya.
Dalam program yang sama juga, JKR Pahang telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menjalankan aktiviti mengecat dewan sekolah SMK Sungai Soi dan juga mengecat garisan petak tempat letak kereta dalam kawasan sekolah.
Dengan pengajuran program ini, diharap dapat memberi pendedahan dan ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar yang terlibat berkaitan dengan peranan dan bidang tugas para profesion teknikal di negara ini sekaligus menimbulkan minat terhadap kerjaya di bidang profesion teknikal. JKR Pahang turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengetua SMK Sungai Soi, guru-guru dan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.