Majlis Penyerahan Projek Pusat Rukun Tetangga Bandar Jerantut, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 4 Ogos 2025 bertempat di tapak projek Pusat Rukun Tetangga Bandar Jerantut, Pahang.
Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan simbolik menandatangani dokumen penyerahan projek diantara YBrs. Ir. Adly bin Dasril selaku Pegawai Penguasa Projek dan YBrs. Tuan Khairulizam Bin Othman selaku wakil pelanggan iaitu Kementerian Perpaduan Negara dan disaksikan oleh YH Dato’ Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria, DIMP., Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang dan YBrs. Puan Amira Binti Abdullah, Pengarah Perpaduan Negeri Pahang.
Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Dr. Wong Ching Ching, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Encik Mohammad Na’im bin Tahrim (Jurutera Bangunan, JKR Jerantut), Puan Nurul Aida binti Awaludin (Jurutera Awam, Bahagian Bangunan JKR Pahang), Puan Dini Fajrina binti Mohd Hussain, Penolong Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, YBrs. Nur Izzati binti Abd Rahamat, Pegawai Perpaduan Daerah Jerantut wakil Kementerian Perpaduan Negara, wakil Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional dan kakitangan JKR Jerantut.
Projek ini telah disiapkan dengan kos pembinaan sebanyak RM 1,026,984.22 dan siling projek keseluruhan adalah sebanyak RM 1.1 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Perpaduan Negara. Pembinaan Pusat Rukun Tetangga Bandar Jerantut ini bertujuan melengkapkan fasiliti rukun tetangga Bandar Jerantut di mana bangunan yang dibina mempunyai ruangan Pejabat Rukun Tetangga dan Tabika Perpaduan. Ruangan tabika ini dapat memuatkan sebanyak 25 orang kanak-kanak pada satu-satu masa, lengkap dengan fasiliti ruangan makan, dapur, bilik rehat serta tandas yang bersesuaian untuk kegunaan kanak-kanak berumur 4 sehingga 6 tahun.
Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jurutera Daerah, JKR Jerantut selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Bangunan JKR Jerantut selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama. Projek ini dilaksanakan oleh Duntrade Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama, Syarikat Zeith Resources sebagai subkontraktor yang dinamakan untuk kerja elektrikal dan Syarikat Dedani Maju Enterprise subkontraktor yang dinamakan untuk kerja mekanikal. Projek ini mula dibina pada 6 Oktober 2023 dan telah siap sepenuhnya pada 9 Julai 2025.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi penyiapan projek ini. Semoga projek yang telah diserahkan ini memberi impak positif dan manfaaf kepada penduduk di bandar Jerantut seterusnya dapat meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di kawasan rukun tetangga ini.
Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Jurutera Daerah, JKR Jerantut selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Projek JKR Jerantut, Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Pejabat Perpaduan Daerah Jerantut, kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini
Sumber: JKR Daerah Jerantut




