KARAK, 20 JANUARI 2026 – Petang tadi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim telah turun padang bagi meninjau perkembangan projek pembinaan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, Pahang. Lawatan ini bertujuan menilai kemajuan semasa projek serta memastikan pelaksanaan kerja berjalan selaras dengan skop, jadual dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Lawatan ini juga diadakan bagi tujuan persediaan menyambut kehadiran YAB. Perdana Menteri yang dijadualkan pada 22 Januari 2026.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Dato’ Seri KSU telah membuat beberapa teguran kepada pihak kontraktor berhubung isu-isu pelaksanaan yang dikenal pasti dan perlu diselesaikan dengan kadar segera. Beliau turut menegaskan agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan pemantauan yang lebih teliti dan berterusan bagi memastikan sebarang kelemahan dapat ditangani secara proaktif.
Projek pembinaan PUSPEN Karak ini dijangka dapat disiapkan dalam tahun ini. Sehubungan itu, YBhg. Dato’ Seri KSU menasihatkan pihak kontraktor agar memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan baki kerja dapat disempurnakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan agar tiada sebarang kompromi dibuat terhadap aspek kualiti, keselamatan dan pematuhan spesifikasi teknikal supaya projek ini dapat diserahkan dalam keadaan yang sempurna serta memenuhi keperluan dan jangkaan pihak pelanggan.
SUMBER: FB Kementerian Kerja Raya Malaysia.






