JKR DAERAH MARAN SERAH PROJEK MENAIKTARAF JALAN LUAR BANDAR DARI SIMPANG FELCRA ULU KERUT – KG ORANG ASLI BOT-BOT – FELDA JENGKA 7 / KE JALAN KILANG SAWIT JENGKA 18 DI DAERAH MARAN, PAHANG

20012026 - JKR Maran Serah Projek Menaiktaraf Jalan Luar Bandar

PUTRAJAYA, 20 Januari 2026, Selasa – Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seri Lestari, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Mahmood, dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman.

Dalam majlis berkenaan, JKR Daerah Maran mencatatkan satu kejayaan yang membanggakan apabila berjaya menyiapkan Projek Menaiktaraf Jalan Luar Bandar Dari Simpang Felcra Ulu Kerut – Kg Orang Asli Bot-Bot – Felda Jengka 7/Ke Kilang Sawit Jengka 18 Maran, yang merupakan antara projek strategik di bawah inisiatif pembangunan infrastruktur luar bandar negara.

Sebagai simbol penyiapan projek, Sijil Penghargaan Penyiapan Kerja telah diserahkan kepada Pengarah JKR Negeri Pahang, Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria.

JKR Daerah Maran selaku Pegawai Penguasa Projek yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dan pemantauan projek ini telah diwakili oleh Jurutera Daerah JKR Maran.

Pelaksanaan Projek Menaiktaraf Jalan Luar Bandar Dari Simpang Felcra Ulu Kerut – Kg Orang Asli Bot-Bot – Felda Jengka 7/Ke Kilang Sawit Jengka 18 Maran ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan melalui KKDW dan JKR dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan tahap perhubungan, keselamatan, kemudahan pergerakan harian serta akses kepada perkhidmatan asas bagi penduduk setempat.

Majlis ini sekaligus menjadi manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana dalam merealisasikan agenda pembangunan luar bandar yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

JKR Daerah Maran kekal komited mendahului dalam menyediakan infrastruktur desa yang selamat, berkualiti dan berdaya tahan demi kesejahteraan komuniti.

SUMBER: FB JKR Daerah Maran.