DARI FACEBOOK KERAJAAN NEGERI PAHANG
PEKAN, 11 JANUARI 2021- Setelah Temerloh dan beberapa daerah lain, kini giliran mangsa-mangsa banjir di Pekan, Pahang pula disantuni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda berkenan menziarahi mangsa banjir di 13 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Pekan bermula di SK Dato Mahmud Mat dan berakhir di SMK Lepar disini.
Baginda juga berkenan memandu sendiri ‘truck’ Jabatan Pertahanan Awam (APM) yang turut dinaiki kerabat diraja, Exco Pahang dan barisan pegawai Kerajaan Pahang sepanjang misi membantu mangsa banjir Pekan itu bermula pagi tadi. Malah ‘truck’ yang dipandu baginda berjaya melepasi beberapa jalan yang dilimpahi banjir dan arus yang deras. Baginda turut berkenan menaiki bot menyusuri banjir sedalam hampir 3 meter semata-mata ingin bertemu dengan mangsa banjir di PPS SK Temai.
Jelas terlihat kasih sayang baginda kepada rakyat negeri Pahang walaupun baginda terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Baginda berkenan menghulurkan sumbangan tunai dan barangan makanan kepada mangsa banjir sambil membantu mengagihkan sumbangan tersebut di kesemua PPS yang dilawati baginda.
Keberangkatan Baginda turut diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Exco Pahang, Ahli Dewan Negeri Bebar, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; YH Dato’ Zaliza Bin Zulkipli, Pegawai Daerah Pekan; Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Ustaz Muhammad Hafidz bin Abdul Halim.
Baginda bertitah agar semua mangsa banjir sentiasa menjaga SOP sepanjang berada di Pusat Pemindahan Sementara dan baginda mendoakan agar mereka semua terus tabah menghadapi ujian ini. DAULAT TUANKU.
Oleh Mahathir Ali.
Sumber dan disediakan oleh:
Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)