Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi Projek Cadangan Membina Platform Baharu Komuter Diesel Multiple Unit (Dmu) Dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Di Hentian Kereta Api Bukit Betong, Lipis, Pahang telah dilaksanakan pada 5 Februari 2025 (Rabu) yang bertempat di Hentian Keretapi Bukit Betong, Lipis, Pahang.
Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Azwan Ezzany bin Azmi, Jurutera Daerah JKR Lipis kepada En. Mohd Shafiq bin Zolkifly, Jurutera Kanan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan disaksikan oleh YBrs. Ir. Waznah binti Abdul Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), En. Basri bin Abu Bakar, Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan En. Muhammad Hafiz bin Wan Ahmad, Pengarah Urusan Annajah Integrated Marketing Sdn. Bhd.
Sesi penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran pegawai/ kakitangan dari RAC, KTMB, CKIP, JKR Daerah Lipis serta pasukan kontraktor.
Projek ini telah berjaya disiapkan 25 hari awal dari tempoh kontrak yang ditetapkan tanpa sebarang lanjutan masa. Projek yang bermula pada 2 Januari 2024 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 8 November 2024 dengan kos kontrak sebanyak RM594,550.00. Kontraktor Utama yang berjaya dilantik untuk pelaksanaan projek ini adalah Annajah Integrated Marketing Sdn. Bhd.
Skop utama projek ini adalah:
- Membina platform baharu 100meter
- Membina tangga dan ramp
- Membina papan tanda platform
- Membina bangku konkrit
- Kerja-kerja elektrik
Dengan siapnya projek ini, ianya akan memberikan manfaat kepada penduduk setempat, meningkatkan keselesaan, dan memperkukuh sistem pengangkutan awam di kawasan ini.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada YBrs. Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP) selaku Pengurus Program, HOPT (Bahagian Darat CKIP), HODT (Bahagian Arkitek CKIP, Bahagian Dedicated Design Team CKIP, Bahagian Elektrik CKIP), warga JKR Daerah Lipis serta kontraktor yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan projek ini.
Terima kasih juga kepada pelanggan (RAC dan KTMB) yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini.
SYABAS dan TAHNIAH diucapkan.