Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan 6 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan di Sekolah Kebangsaan Kedaik, Rompin, Pahang

Penyerahan Bangunan Tambahan Projek SK Kedaik

18 April 2022, Isnin- Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan 6 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan di Sekolah Kebangsaan Kedaik, Rompin, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 18 April 2022 bertempat di tapak projek Bangunan Tambahan S.K Kedaik, Rompin, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan penyerahan kunci bangunan secara fizikal oleh YBrs. Encik Mohd Herzi Bin Che Hussin, Jurutera Daerah JKR Rompin selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Tuan Haji Mohd Azmi Bin Othman, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Pahang. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Haji Mohamad Fozi Bin Sulaiman, Jurutera Awam Penguasa, Bahagian Pendidikan, JKR Pahang dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, PPD Rompin, Pasukan Projek , HODT serta JKR Negeri Pahang.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang menggunakan lukisan Pre-Approved Plan (PAP) dengan siling projek sebanyak RM 7.8 juta. Skop projek melibatkan pembinaan bangunan tambahan 6 bilik darjah (1 blok 4 tingkat), rumah pam, rumah sampah, laluan masuk dan pintu pagar utama , 12 unit tempat letak kereta termasuk 1 unit OKU, 4 unit tempat letak motosikal dan kawasan lapang.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 24 bulan iaitu bermula 20 Ogos 2019 sehingga 16 Ogos 2021 dan kontraktor telah diberi lanjutan masa selama 197 hari atas keperluan teknikal dan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selaras dengan ketetapan Kerajaan. Berkat kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Kontraktor iaitu Zana Bina Sdn. Bhd. projek ini akhirnya telah siap sepenuhnya dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 1 Mac 2022.

Matlamat utama pembinaan bangunan tambahan 6 bilik darjah (1 blok 4 tingkat) ini adalah untuk memberi kemudahan pembelajaran yang terkini dan kondusif kepada masyarakat orang asli terutamanya di sekitar kawasan Perkampungan Orang Asli Kedaik, daerah Rompin. Anak-anak orang asli di kawasan ini tidak lagi perlu keluar bersekolah mengengah yang jaraknya 50 km di Muadzam Shah dan boleh melanjutkan pelajaran tingkatan 1 hingga 3 di sekolah baru yang telah disipakan ini pada sesi pembelajaran tahun 2023.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah Rompin selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Cawangan Kerja Pendidikan dan Kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

Berita oleh :
Bahagian Bangunan
JKR Rompin

SK Kedaik 01
SK Kedaik 02
SK Kedaik 03
SK Kedaik 04