MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBAIKAN CERUN DI IBU PEJABAT POLIS DAERAH JERANTUT

25062024

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut telah berlangsung dengan jayanya pada 24 Jun 2024 bertempat di tapak projek iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan dengan simbolik tandatangan pada dokumen penyerahan projek oleh Pegawai Penguasa iaitu YBrs. Ir. Adly bin Dasril kepada YBrs. Encik Fahrur Razi Bin Nasuka, Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku wakil kepada pihak pelanggan bagi projek ini.

Majlis dimulakan dengan tayangan montaj projek seterusnya ucapan penyerahan projek oleh YBrs. Ir. Adly bin Dasril mewakili Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang dan ucapan dari YBrs. Encik Fahrur Razi bin Nasuka dari Kementerian Dalam Negeri (KDN). Majlis turut dihadiri oleh Supt Paul Henry A/L Mewar Singh, Ketua Jabatan Logistik Kontinjen Pahang dari IPK Pahang, Supt Zukri Bin Muhammad, Ketua Polis Daerah Jerantut , Tpr. Mohd. Khasri Bin Abdullah, Setiausaha Majlis Daerah Jerantut, DSP Mohd Azahari Bin Mukhtar, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Ir. Utaya Kumar Veelmurugan, Jurutera Awam Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia, pegawai-pegawai kanan polis serta kakitangan dari JKR Daerah Jerantut serta kakitangan IPD Jerantut.

Dalam majlis tersebut, Pegawai Penguasa Projek juga telah menyerahkan sijil penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung sepanjang pembinaan ini dijalankan.

Projek ini direkabentuk sepenuhnya oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia dengan kelulusan siling peruntukan sebanyak RM 2.5j melibatkan skop projek meroboh struktur tembok yang rosak, pembinaan tembok penahan jenis ‘Keystone Wall’, sistem saliran, pembaikan sistem kumbahan, jalan dalaman serta papan tanda.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 14 bulan iaitu bermula 8 Mac 2023 sehingga 23 Mei 2024 dan kontraktor telah berjaya menyiapkan projek lebih awal dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 22 Mei 2024. Berkat kesungguhan pasukan kontraktor utama dari syarikat Smart Finger Enterprise dalam menjayakan projek ini bersama pasukan selia tapak dari JKR Jerantut dan wakil pelanggan dari Bahagian Logistik IPD Jerantut telah memberikan impak yang positif dimana projek berjaya disiapkan dengan kualiti yang memuaskan.

Dengan pembinaan ini, tembok penahan sedia ada yang mengalami kegagalan sejak dari tahun 2017 digantikan dengan tembok penahan jenis baru iaitu ‘Keystone Wall’. Tembok jenis ini memberi kelebihan dimana ruangan bahagian atas tembok dapat digunakan dengan maksima dan ruang yang diperlukan bagi tembok ini adalah kecil. Selain itu juga, tembok baru ini dapat menaikkan lagi imej Bandar Lama Jerantut dan memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap keselamatan cerun dimana tembok berkenaan berada di laluan utama yang sering dilalui oleh pelancong dan orang awam.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah JKR Jerantut selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Cawangan Kejuruteraan cerun JKR Malaysia serta Pasukan Projek JKR Jerantut seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.

25062024 002
25062024 003
25062024 004