MAJLIS PENYERAHAN PROJEK KLINIK KESIHATAN JENIS 3 DAN KUARTERS SOI, KUANTAN

06052026 Majlis Penyerahan Klinik Soi

Majlis penyerahan projek siap kepada pelanggan bagi Projek Klinik Kesihatan Jenis 3 Dan Kuarters Soi telah diadakan pada 05 Mei 2026 (Selasa) bertempat di Klinik Kesihatan Kesihatan Sungai Soi, Kuantan pada jam 9.00 pagi.

Penyerahan Projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Ts. Adnan Bin Ladin mewakili Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang kepada Yg Berbahagia Datin Paduka Roslinah Binti Md Jani, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan Malaysia disaksikan oleh YB. Dato’ Ir. Razali Bin Kassim, Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang dan YBrs Dr Haji Saiful Azlan Bin Hj Sharif, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang.

Majlis penyerahan ini juga turut diserikan dengan kehadiran daripada pegawai-pegawai daripada HOPT, Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah, WPP Arkitek dan WPP Pakar KJEN.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman. Pengurus Program adalah Bahagian Pengurusan Projek 3, Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) dan manakala Pegawai Penguasa Projek adalah Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang. Projek ini adalah merupakan projek perintis di Malaysia yang rekabentuknya menggunakan rekabentuk Pre-Approved Plan (PAP) Klinik Kesihatan Jenis 3 – Clarus yang telah ditender secara tender terbuka dan kontraktor yang terpilih untuk melaksanakannya adalah Hasrat Teknik Sdn. Bhd. Pembinaan projek ini bermula pada 8 Mac 2021 dan telah berjaya disiapkan pada 13 Disember 2025. Kos kontrak asal projek ini adalah RM25,180,000.00 tetapi telah disiapkan dengan kos sebenar berjumlah RM 23,681,070.77.

Projek ini merangkumi 1 Blok Klinik Kesihatan 2 tingkat, Blok TNB, Blok Rumah Pam, Blok Sokongan C (Stor), Blok Garaj Ambulan, Blok Rumah Sampah dan Blok Pondok Pengawal serta Kuarters Kelas F dan G.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek JKR Negeri Pahang, Cawangan Kerja Kesihatan selaku Pengurus Program, barisan pakar HODT JKR, dan Kontraktor serta semua pihak serta agensi yang terlibat kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan output kerja yang amat membanggakan.

Dimaklumkan klinik ini akan mula beroperasi pada bulan Jun 2026 . Ianya akan memberi manfaat kepada 85,000 orang penduduk sekitarnya. Operasi klinik terutama pergigian, ibu dan anak dan pesakit luar akan dimanfaati oleh mereka yang akan berhajat untuk mendapat perkhidmatan di Klinik ini.

06052006 KK3 Soi 013
0002 KK3 Soi
06052006 KK3 Soi 020
06052006 KK3 Soi 022
06052006 KK3 Soi 014
06052006 KK3 Soi 019