KUANTAN, 02/09/2025 – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan turun padang ke daerah Kuantan, Pahang. Setibanya di Pejabat Jurutera Daerah Kuantan, beliau telah disambut oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, DIMP., yang diiringi oleh Jurutera Daerah, YBrs. Ir. Aida Amalina binti Abdullah serta kakitangan JKR Daerah Kuantan.
Sesi lawatan turun padang ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, pegawai daripada Cawangan Jalan, Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang, JKR Daerah Kuantan dan Roadcare (M) Sdn. Bhd.
Sesi lawatan turun padang ini telah dimulakan dengan taklimat ringkas berkaitan kerja penyelenggaraan jalan yang sedang dilaksanakan di Jalan Persekutuan dalam daerah Kuantan. Selain itu, pelbagai isu telah dibangkitkan berkaitan dengan cadangan projek menaiktaraf jalan dan kerja penyelenggaraan jalan dalam daerah Kuantan.
Seterusnya, YB Menteri Kerja Raya telah meninjau kerja penyelenggaraan jalan di Jalan Sungai Lembing (FT231) berhampiran seksyen 1.20 – 2.85 melibatkan skop kerja dengan menggunakan kaedah mill & pave (AC14). Kerja penyelenggaraan jalan yang dilaksanakan oleh Roadcare (M) Sdn. Bhd. masih dalam tempoh pembinaan dan ianya dijangka akan diselesaikan sebelum 30hb September 2025.
Kemudian, lawatan diteruskan ke lokasi Cadangan Pembinaan Persimpangan Bertingkat Panching, Jalan Kuala Lumpur – Kuantan (FT02), Projek Pembinaan RKAT Markas Angkatan Bersama di Panching dan aduan kerosakan pembetung di Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing (FT231).
Semoga kehadiran YB Menteri Kerja Raya dalam program lawatan turun padang ini dapat memperkukuhkan kerjasama yang baik di antara Kementerian Kerja Raya dan JKR Negeri Pahang.
Sumber: FB JKR Daerah Jerantut




